Jumaat, 7 September 2012

Alhamdulilah selesai menunaikan banyak perkara berkait dengan pengajian Phd yang masih berbaki satu semester lagi. Ustaz akan kembali menghuni asrama setelah hampir 6 bulan menangguhkan pengajian. Insya Allah satu kelas talaqqi hadis akan ustaz mulakan tidak lama lagi. Sesiapa yang berminat dan tinggal berdekatan dengan Pasir Gudang amat dialu-alukan untuk turut serta. Tiada yuran pengajian dikenakan yan penting istiqamah dan ikhlas. Ianya satu usaha supaya kita semua dapat mempelajari hadis dengan betul dan terperinci. Semoga program ini diberkati Allah Taala.

Selasa, 27 September 2011

Imam An-Nawawi r.a (631H-676H)

Sangat menarik bila membaca kisah ulamak. Benar sebagaimana dikatakan bahawa ketika mendengar atau membaca kisah orang yang soleh, akan turun rahmat Allah Taala. Dan juga ucapan Imam Abu Hanifah r.a. bahawa sesungguhnya cerita dan kisah itu adalah tentera Allah.


Syaikh Yasin bin Yusof Az-Zarkashi r.a. guru tariqat Imam An-Nawawi r.a. menceritakan tentang kehidupan Imam An-Nawawi: Aku melihat beliau ketika di Nawa perkampungan di Syria), usianya ketika itu sepuluh tahun sedang dipaksa oleh sekumpulan kanak-kanak untuk bermain bersama dengan mereka sedangkan Imam An-Nawawi melarikan diri daripada mereka dan menangis kerana paksaan mereka. Pada waktu itu dia sedang asyik membaca Al-Quran.


Maka saya tiba-tiba menyintainya. Manakala ayahnya pula menyuruhnya untuk menjaga kedai, tetapi beliau terus menyibukkan dirinya dengan membaca Al-Quran tanpa mempedulikan kedainya.


Aku pun bertemu dengan guru yang mengajarnya Quran sambil berkata: “ Budak ini mungkin akan menjadi orang yang paling alim pada zamannya, paling zuhud, dan seluruh manusia akan mendapat manfaat daripada ilmunya.” Guru Qurannya bertanya kepadaku: “Adakah Tuan seorang tukang tenung?” Aku menjawab: “Tidak! Tetapi bahawasanya Allah Taala yang menjadikan saya bertutur demikian”. Lantas guru Quran itu terus memberitahu kepada Ayah Imam An-Nawawi akan hal itu dan menggalakkannya supaya terus tekun dalam menuntut ilmu sehingga beliau menghafaz seluruh isi al-Quran sebelum usianya mencecah baligh.


Kisah ini amat menarik untuk kita ambil beberapa pengajaran. Antaranya didiklah anak mencintai Al-Quran bermula usia kanak-kanak lagi. Benarnya dan kemustajaban kata-kata ulamak. Dan yang lebih penting peranan Ayah dan ibu dalam memastikan didikan yang sempurna kepada anak-anak. Moga ada yang dapat manfaat daripada coretan ini.

Khamis, 22 September 2011

Rumah Terbuka Syawwal

Masih dalam mood Syawal yang mulia yang menyaksikan pesta rumah terbuka di mana-mana sahaja terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum. Memanglah mengajak sahabat-sahabat dan teman berkunjung ke rumah satu perkara yang mulia dan termasuk dalam anjuran Islam bagi menguatkan tali persaudaraan di samping melatih diri bersifat pemurah dengan makanan yang disediakan.


Namun kemeriahan ini jangan ditenggelamkan dengan pembaziran dan sifat berbangga diri dengan majlis yang diadakan. Garis panduan syarak perlu diikuti dengan penuh rasa taat dan perhambaan kepada Allah. Janganlah disajikan dengan hiburan yang melampau serta pengabaian solat berjemaah.


Apa salahnya tetamu turut diajak bersolat sama-sama dengan tuan rumah secara berjemaah. Ini pasti akan menambahkan lagi keberkatan rumah dan majlis yag diadakan. Masing-masing mendoakan kebaikan sesama mereka. Antara doa yang mustajab ialah doa teman buat temannya yang lain.


Semoga rumah terbuka yang diadakan mendapat rahmat Allah Taala yang berpanjangan.

Rabu, 10 Ogos 2011

Perkasakan Agama






Umat Islam dikejutkan dengan kejadian "serbu gereja" yang dianggap tempat yang sensitif yang boleh menimbulkan pelbagai perkara yang tidak diingini khususnya ada yang cuba membuat tafsiran sendiri dan andaian yang hanya berdasarkan khayalan semata-mata.


Kita sedia maklum gerakkan kristianisasi terhadap umat Islam sudah sekian lama berjalan dengan pelbagai cara. Bermula dengan cara peperangan, penjajahan, pendidikan, kebajikkan, politik, ekonomi dan kemanusian.


Umat Islam mesti mengambil langkah berhati-hati bukannya ketakutan membabi-buta. Kita perlu menyusun kembali pelaksanaan dakwah yang menyeluruh di samping desakkan supaya diwujudkan undang-undang murtad.


Elakkan membesarkan isu-isu kecil yang menjadi perselisihan umat Islam ribuan tahun dulu dengan mengutamakan isu besar dan penting. Umat Islam perlu berfikir untuk berada dalam satu saf yang jitu dengan menghindari beberapa pertikaian yang peribadi dan kepentingan politik sempit golongan tertentu. Semoga ada jalannya.

Khamis, 4 Ogos 2011

Bacalah Al-Quran

Al-Quran merupakan mukjizat maknawi yang terus kekal hingga hari kiamat. Ia merakamkan segala mukjizat-mukjizat para rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w.


Perkataan yang benar ini merupakan kalam Allah Taala kepada para makhluknya. Ianya menegur manusia, mengingatkannya, memberi amaran, teguran dan nasihat, khabar gembira, berita-berita ghaib dan ilmu yang tidak pernah terhenti.


Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mengingatkan kita supaya senantiasa membaca Al-Quran kerana ianya akan memberi syafaat di hari kiamat kelak. Demikian juga setiapa bacaan dicatat pahala yang berganda-ganda apatah lagi di bulan Ramadhan.


Menjadi satu sunnah yang patut diikuti yang telah dilakukan oleh para sahabat dan generasi selepasnya yang memperbanyakkan bacaan Quran. Usman bin Affan r.a khatam Al-Quran setiap malam dalam solatnya, Imam As-Syafie r.a setiap hari di bulan Ramadhan beliau khatam 2 kali. Demikian juga Imam Qatadah bin Di'amah yang setiap hari di bulan Ramadhan, khatam sekali sehari.


Ratusan contoh yang menunjukkan betapa perlunya kita hari ini memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana ianya akan menjadi ukuran siapa yang dekat dengan Allah Taala.

Rabu, 3 Ogos 2011

Kuliah Ramadhan 3: Jaafar Bin Abi Tolib

Salah seorang sahabat Rasululah s.a.w yang tercinta bernama Jaafar bin Abi Talib r.a. Beliau merupakan sepupu Nabi s.a.w dan juga saudara susuannya.

Susuk tubuh beliau dan akhlak peribadinya persis Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diakui oleh Baginda sendiri. Beliau juga seorang yang amat pemurah sebagai akuan daripada Abu Hurairah r.a.

Memimpin golongan Islam yang pertama yang berhijrah ke Habsyah (Sudan) akibat penindasan yang melampau yang dilakukan oleh algojo Mekah. Beliau menjadi juru cakap Islam di sana. Apa yang menarik ialah beliau telah berjaya berdakwah kepada Raja Najashi yang menyaksikan dia memeluk Islam.


Beliau juga bertanggungjawab dalam mematahkan usaha Musyrikin Mekah yang telah menghantar Abdullah bin Abi Rabi'ah dan Amru Bin Al-Ash bagi memujuk Raja Najashi memulangkan semula umat Islam ke Mekah.


Beliau gugur syahid di medan Mu'tah (Karak, Jordan). Lebih 50 kesan tikaman dan panahan musuh telah menghantar beliau ke syurga bersama para syuhada' yang lain.

Selasa, 2 Ogos 2011

Kuliah Ramadhan 2




Alhamdulilah segala puji bagi Allah, dengan limpah dan kurnianya kita masih berpeluang untuk menghidupkan Ramadhan demi mencari keampunan dan keredhaanNYa.


Hari ini ustaz berkesempatan menyampaikan kuliah subuh di masjid Megah Ria. Tajuk yang dipilih berkenaan dengan kemunculan Nabi Isa a.s diakhir zaman.


Antara pegangan akidah umat Islam ialah mempercayai kemunculan semula Nabi Isa a.s ke bumi ini selepas diangkat oleh Allah Taala ke langit. Turunnya baginda s.a.w adalah berperanan untuk menyatukan manusia hanya dalam satu agama iaitu Islam. Berpegang dengan syariat yang di bawa oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam semua urusannya samada ibadat, muamamalat atau politik dan pemerintahan.



Nabi Muhammad s.a.w menerangkan secara panjang lebar dan terperincil tentang kemunculan Nabi Isa a.s ini. Bermula daripada penegasan Baginda s.a.w akan penurunannya ke dunia hinggalah bagaimana Nabi Isa ini akan wafat sebagaimana sunnah Allah Taala kepada seluruh makhluk yang bernyawa.


Peranan yang akan dimainkan oleh Nabi Isa a.s sebagai seorang pemerintah yang tertinggi, yang adil menjadi teras utamanya. Menyebarkan kebaikan ke seluruh pelusuk buana dengan Islam dan kemuliannya.



Baginda juga akan menghancur salib-salib kristian yang merupakan penyelewangan agama kristian yang amat jelas, serta membunuh babi, tidak menerima jizyah melainkan wajib semua manusia memeluk Islam sebagai agama terakhir di muka bumi ini.



Ramai manusia yang cuba memanupulasikan berita kedatangan Nabi Isa a.s dengan pelbagai penyelewengan seperti yang dilakukan oleh kumpulan qadyani, ayah pin dan kumpulan sesat yang semakin banyak ini.


Insya Allah tokku akan dedahkan dalam kuliah di Masjid Megah Ria nanti dengan lebih terperinci di samping apa yang bakal ditulis nanti.

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan Al-Mubarak

Alhamdulilah segala puji bagi Allah Taala yang memanjang usia kita semua untuk bersama hidup dalam kemulian dan keberkatan bulan Ramadhan Al-Mubarak.


Di sini peluang yang diberikan adil dan sama rata. Terpulanglah kepada kita bagaimana usaha yang dilakukan bagi mendapatkan kebaikan atas peluang yang terhidang ini.


Tawaran yang paling besar ditawarkan di sini ialah keampunan Allah Taala yang merupakan matlamat kepada segala ibadat dan perhambaan. Ini kerana semua manusia Allah ciptakan tidak akan terlepas daripada dosa samada dosa yang jelas nyata ataupun yang tersembunyi.


Keampunan adalah segalanya di sini. Namun ada perkara-perkara lain yang mungkin akan menutupinya daripada dilihat oleh manusia yang beriman. Ya! Ada kalangan manusia yang hanya melihat kepada peluang perniagaan, perayaan, kerehatan, atau memperkasakan selera makan. Semuanya itu cuba menghadang keampunan Allah yang terselit di celah-celah kepentingan-kepentingan lain.


Semoga Allah Taala memperlihatkan kepada kita keampunan dan kasih sayangNya. Amin.


Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Insya Allah satu hari satu pengisian dalam blog ini.

Rabu, 27 Julai 2011

Wahabi dan Pengganas

Beberapa berita sensasi yang memenuhi dada-dada media massa dan bakal membawa ulasan yang tidak berkesudahan tentang fahaman wahabisme serta kaitannya dengan pengganas. Ianya memanglah satu berita yang kurang menyenangkan bagi mereka yang cintakan kebaikan dalam beragama dan kesuburan dalam ibadat. Namun kepahitan ini mesti dihadapi juga dengan apa cara sekalipun.


Mungkin ada pihak yang amat gembira dengan fenomena ini khusus pembenci tegar wahabi yang rata-rata hanya melihat dan mendengar hujjah sebelah pihak. Demikian juga ianya mungkin menjadi satu ketakutan dan kebencian bagi penggemar tegar wahabi.


Mengaitkan tokoh-tokoh tertentu secara membabi buta dan tuduhan semborono merupakan satu cara orang yang bangkrap dan muflis ilmu. Atau mungkin bimbang pada pengaruh dan pangkat yang ada.


Tokku merasakan sudah sampai masanya satu wacana ilmu yang jujur dan ikhlas serta berilmiah dalam menyelesaikan masalah ini yang cuba dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai modal murahan politik yang berkepentingan.


Pandangan yang sederhana selalu berjaya menyelamatkan kita dalam isu-isu seperti ini.




Sabtu, 25 Jun 2011

Amerika yang akan hancur

Bukanlah satu perkara yang memeranjatkan apabila bandar New York menjadi bandar keenam di Amerika yang menghalalkan perkawinan sejenis apabila senat meluluskannya pada 24 Jun 2011. Sebelum ini ada tentangan yang kuat untuk menghalang akta dan undang-undang ini, namun ianya menunjukkan secara jelas bagaimana lemahnya agama kristian dalam menentang amalan luar tabie ini yang lebih buruk daripada binatang.




Sebenarnya Amerika diambang kejatuhan dan kemusnahan akibat kejahatan dan maksiat yang melampau ini. Sejarah membuktikan bagaimana kemusnahan teruk yang melanda 5 bandar utama kaum Nabi Allah Lut yang mengamalkan homoseksual dan lesbian. Bandar-bandar utama mereka seperti Sadum, Amura dan lain-lain lagi menyaksikan bagaimana bumi yang diterbalikkan oleh Allah dan rejaman batu dari api neraka yang memusnahkan segalanya.




Al-Quran adalah satu mukjizat yang agung. Ianya menceritakan kisah-kisah dan bagaimana kesan dan akibatnya. Dan kisah-kisah dalam Al-Quran rupa-rupanya berulang dan terus berulang. Skrip yang sama yang dituturkan dan diamalkan oleh manusia, maka akibat dan azab yang sama yang akan menimpa mereka.

Isnin, 6 Jun 2011

Rawatan Al-Quran

Pernah satu ketika seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Auf bin Malik Al-Ashjaie jatuh sakit. Maka ramailah kenalannya mengunjunginya dan menziarahinya lalu mereka berkata: Bolehkah kami merawat kamu? Jawab Auf : Bawakan kepadaku segelas air kerana Allah berfirman (yang bermaksud) "Dan kami turunkan dari langit air yang penuh keberkatan", kemudian dia berkata lagi: Bawakan kepadaku madu, sesungguhnya Allah telah berfirman (yang bermaksud) "Pada madu itu kesembuhan kepada manusia", kemudian Auf berkata lagi: Bawakan kepadaku minyak zaitun, kerana sesungguhnya Allah Taala telah berfirman (yang bermaksud) "Daripada pokok yang penuh keberkatan buah zaitun".


Lalu mereka membawa segala bahan-bahan yang diminta oleh Auf, selepas itu dia mencampurkan semuanya lalu meminumnya dan sembuh sepenuhnya daripada penyakitnya.


Kisah ini menunjukkan keberkatan rawatan yang berteraskan wahyu. Namun semuanya ini hanya akan terhasil kalau dilakukan dengan penuh keyakinan terhadap ayat-ayat Allah taala.

Isnin, 23 Mei 2011

KEBAHAGIAN

Hidup berdasar sunnah dan syariat akan memberikan kepada kita kebahagian yang sebenar yang selama ini dicari oleh semua manusia. Ada yang sanggup membayar ratusan, ribuan bahkan jutaan ringgit untuk mencari kebahagian yang diidamkan. Hakikat yang dilupai oleh manusia bahawa kebahagian itu ada dalam diri manusia yang tidak perlu dibayar tetapi perlukan sedikit pengorbanan dan mujahadah. Mendengar wasiat-wasiat Nabi s.a.w kepada para sahabat-sahabat Baginda memberikan kepada kita satu panduan hidup yang sebenar. Di sini ustaz ingin memetik pesanan Baginda s.a.w kepada Anas bin Malik.


Wahai anakku! Sekiranya kamu mampu untuk menjalani hidupmu pagi dan petang tanpa melakukan apa-apa penipuan maka lakukanlah..Wahai anakku! Sesungguhnya ianya adalah sunnahku, maka sesiapa yang menghidupkan sunnahku beerti dia menyintaiku, dan sesiapa yang menyintaiku, dia akan bersamaku di dalam syurga. Wahai anakku! Apabila kamu masuk ke rumahmu, maka ucapkanlah salam kepada keluargamu, pasti ianya akan mendatangkan keberkatan kepada kamu sendiri dan penghuninya.

Pesanan yang amat ringkas ini adalah rahsia mencari kebahagian hidup. Menjaga hubungan dengan masyarakat dengan mengelakkkan segala sifat penipuan, dan menjaga hubungan dengan keluarga dengan sentiasa menjadikan salam sebagai keberkatan hidup. Ayuh kita mencuba!

Isnin, 4 April 2011

Pocho-pocho haram

Agak terkini bila jabatan mufti Perak mengedarkan fatwa terbaru yang diwartakan tentang pengharaman tarian ini yang amat popular di Johor dan juga dalam semua program-program motivasi dan kem-kem sosial.


Alasan amat jelas iaitu tarian ini adalah satu upacara agama kristian yang diamalkan di Jamaica dan juga amat popular di Filipina sebagai tarian agama kristian yang membentuk salib secara tidak langsung melalui pergerakkan tangan dan kaki.


Ustaz tak pernah melihat tarian ini dan tidak juga berminat untuk melihatnya. Setelah heboh di akhbar dan berita, barulah terdorong hendak mengenalinya secara lebih dekat.


Dijangka minggu hadapan majlis fatwa kebanggsaan akan bersidang bagi memutuskan perkara yang serupa.


Sebenarnya banyak perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh umat islam di Malaysia khususnya melalui hiburan yang berlambak-lambak membanjiri media Malaysia yang mengandungi pelbagai khurafat, tahyul dan amalan syirik yang menyerupai agama lain yang amat jelas pengharamnya.

Isnin, 28 Mac 2011

Mengenang Jasa

Ustaz mempunyai masa yang khusus untuk mengenang jasa-jasa orang yang menjadi sebab ke arah kebaikan yang diperolehi sekarang selain daripada sentiasa bersyukur kepada Allah Taala yang senantiasa memberikan nikmat dan kasih sayang kepada diri yang kerdil ini.


Antaranya jasa orang yang pertama mengajar ustaz bahasa Arab. Masih ingat lagi, betapa berkobar-kobarnya hati ini pada hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah agama arab di Dungun Terengganu. Perkataan pertama yang dipelajari daripada kakak sendiri iaitu Naam (Ya) dan Laa (Tidak). Seronoknya tidak terkira, kerana ianya seperti menyuntik semangat untuk mendalami bahasa Arab. Sehingga berpeluang mendalami melalui sesi pengajian di dalam kelas. Sungguh menggembirakan.


Ustaz mula menghafaz perbualan dalam bahasa Arab yang tercatat dalam buku teks yang dikenali dengan nama Al-jadid. Daripada situ, bakat ustaz mula berkembang sehingga berjaya menjadi johan pidato bahasa Arab peringkat negeri Terengganu. dan pengalaman yang paling menyeronokkan ialah menjadi penterjemah kepada kumpulan ustaz-ustaz Mesir yang datang ke Terengganu untuk mengajar aliran Thanawi di sekolah Sultan Zainal Abidin.


Alhamdulilah, sekarang ustaz dah mampu menulis, membaca dan bertutur dalam bahasa Arab dengan baik. Semuanya bermula dengan Naam dam Laa. Terima kasih kekandaku.


P/s: Mengingati jasa orang lain terhadap kita menjadikan kita sentiasa bersyukur dan rendah diri. Ya Allah! Ampunkan dosa-dosa orang yang telah berjasa kepada hambaMu ini.

Selasa, 8 Februari 2011

ISTAC

Lepas bersetuju untuk bertemu dengan bakal penyelia untuk menyiapkan risalah phd, ustaz diminta hadir ke Istac di jalan duta, Kuala Lumpur. Memang tak pernah "berkayuh" sampai ke sana. Walaupun lama menuntut ilmu di sekitar Kuala Lumpur bermula tahun 2000 hingga sekarang, namun jalan di Kuala Lumpur agak janggal buat ustaz. Maklumlah hanya terperap dalam Universiti sahaja.


Beberapa kenalan rapat telah dihubungi untuk mendapatkan peta minda yang jelas tentang jalan ke sana. Semuanya tak terbayang dan kelam aje. Alhamdulilah ada Gps yang serba dhaif untuk membantu mencari jalan. Akhirnya sampai jua jam 10 pagi.


Terus melangkah bersemangat mendaki anak tangga yang ternyata tinggi dan agak curam untuk bertemu dengan timbalan pengarah Istac bagi membincangkan thesis yang bakal disiapkan. Berpusing ustaz beberapa kali untuk mencari pejabat yang beliau yang berada di tempat yang agak sunyi. Mungkin hari Isnin sunyi sikit kot!


Akhirnya jumpa juga, namun terpaksa pula tunggu setengah jam kerana beliau didatangi tetamu dari Yapim. Sabar ajelah..adab menuntut ilmu. Kalau ikutkan penat dan semangat, mahu sahaja diserbu bilik beliau.


Masa yang di nanti telah tiba, dengan wajah tersenyum beliau mengajak ustaz masuk ke dalam bilik beliau untuk berbincang panjang tentang persiapan thesis dan rujukan diperlukan. Ustaz meminta tempoh selama dua minggu untuk menyiapkan kertas cadangan yang bakal di bentang di fakulti dan kuliah. Insya Allah rasanya macam cukup bersedia.


Ustaz cakap dengan beliau: "Saya tak biasa jalan kl..boleh tak kita jumpa kat uiam aje". Dengan wajah selamba beliau menjawab: "Boleh, tapi hari khamis petang aje". Allah! Rasanya kalau jumpa hari khamis masalah pula. Maklumlah hari rabu memang dah siap nak balik Jb. Sebab malamnya ada kuliah. Macamana? Nantilah ustaz fikirkan..


Untuk makluman para pembaca Istac ditubuhkan pada 27 Feb 1987 dan dirasmikan pada 4 Okt 1991. Ianya bertujuan untuk menyediakan pengajian peringkat tertinggi Ma dan Phd dalam bidang tamadun dan Pemikiran moden. Ciri binanya mirip eropah campur dengan Turki. Kawasannya memang tersangat luas. Dan kedudukan di kawasan yang amat sibuk dan padat. Menjadi kebiasaan seminar antarabangsa diadakan di sini. Inilah kali pertama ustaz sampai. Memang agak memenatkan dan terasa berputar jalannya.
Tiba masanya pulang ke Uiam, dengan menggunakan Gps akhir selamat sampai jam 12 tengahari. pengalaman yang sukar tapi menarik. Peristiwa yang berlaku pada hari Isnin tapi terlewat merakamkannya. Moga ada manfaat.

Selasa, 1 Februari 2011

Krisis di Mesir

Sudah hampir seminggu tunjuk perasaan besar-besaran membanjiri bumi Mesir yang dikenali dengan bumi ambiya' (Nabi-nabi). Husni Mubarak berada diambang kejatuhan sebagaimana kesudah semua kerajaan yang zalim di atas muka bumi ini. Bermula daripada kerajaan Namrud, Firaun dan regim-regim zalim yang lain.
Kerajaan Tunisia yang zalim itu akhirnya tumbang dan tempiasnya merebak ke Mesir, Yaman, Saudi dan beberapa dunia lain. Semuanya ini adalah satu amaran kepada mana-mana pemerintah yang bukan bekerja untuk rakyat dan mencari keredhaan Allah Taala.
Semua dunia memandang perubahan yang bakal berlaku kepada negara Mesir. Sekiranya kerajaan pimpinan Mubarak jatuh beberapa implikasi ini akan dijangka berlaku:
1- Kepimpinan parti islam terserlah seperti ikhwan Muslimin
2- Kepentingan Amerika dan Israel akan terjejas teruk
3- Kemenangan yang menghampiri umat Islam di Ghaza
4- Mengembalikan kemulian negara Mesir di pentas Dunia kerana satu ketika dahulu mesir terkenal antara negara yang terkuat di dunia
5- Penguasaan ekonomi umat Islam. Ini kerana terusan suez yang merupakan laluan perkapalan utama dunia yang memendekkan benua Eropah dengan benua Asia akan diuruskan dengan baik tanpa rasuah .
6- Membangkitan kebangkitan umat di seluruh dunia khusus di negara ditaktor Arab Saudi.
Satu perhimpunan besar-besaran yang akan menghimpunkan jutaan lautan manusia yang akan terus mendesak dan mengasak Husni Mubarak supaya turun bahkan tinggalkan negara Mesir. Seluruh dunia umat Islam menyokong kebangkitan umat ini. Semoga Allah membantu mereka semua.
Memang satu kebimbangan kepada rakyat Malayasia yang anak-anak mereka belajar di Mesir. Apatah lagi pelbagai khabar angin yang bertiup kencang berkenaan beberapa kebimbangan seperti kebuluran, jenayah, keselamatan dan lain-lain lagi. Insya Allah ustaz percaya dengan jumlah pelajar Malaysia melebihi 11 ribu orang mampu menjaga diri mereka dengan baik apatah lagi penuntut-penuntut Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat Mesir.
Walaupun demikian kerajaan Malaysia perlu bertindak segera. Jangan mengharapkan kedutaan Malaysia dan jabatan penuntut Malaysia untuk menguruskan situasi ini. Kerana semua pelajar di Mesir tahu betapa lembab dan lemahnya mereka dalam mengawal situasi seperti itu, apatah lagi hubungan yang senantiasa dingin antara kedutaan, jabatan penuntut dengan para pelajar.

Selasa, 25 Januari 2011

Tajuk Phd

Hampir 3 minggu melakukan solat istikharah untuk mencari tajuk yang sesuai untuk dibuat kajian dan ditulis. Ini kerana tujuan ustaz supaya kajian yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada umat Islam diseluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Sehingga tengah malam ustaz berjaya juga menyenaraikan beberapa tajuk yang terlintas di hati sesudah membuat pembacaan selama beberapa minggu ini. Antara tajuk yang menjadi pilihan ustaz ialah:

1- Fiq untuk orang sakit- Kajian perbandingan di antara mazhab
2- Etika dan garis panduan berfatwa
3- Hukum murtad: kajian perbandingan antara undang-undang Islam dan Enakmen jenayah Syariah
4- Cerai dan kesannya: Kajian perbandingan
5- Metodologi Imam An-Nawawi di dalam penulisan kitab Majmu’
6- Metodologi Fatwa Ibnu Hajar Al-Haithami dalam kitabnya “Fatawa Hadithiah”
7- Qaedah Fiq

Kesemua tajuk tersebut ustaz buat draf ringkas untuk dibentangkan dan diperbincangkan dengan Prof. yang akan menjadi monitor ustaz. Tepat jam 12-20 ustaz meninggalkan bilik untuk ke bilik pensyarah. Kira-kira 15 minit berjalan kaki akhirnya sampai kat bilik pensyarah. Beliau belum ada kerana menyampaikan kuliah. Tepat jam 1 tengahari beliau datang bersama dengan seorang pelajar perempuan yang ingin bertanyakan kemusyilan agama. Bersama ustaz juga seorang pelajar master dari Negeria yang turut mempunyai temujanji yang sama dengan ustaz.
Sesudah menyelesaikan keperluan dua orang pelajar tersebut, ustaz mula diberikan perhatian oleh beliau. Satu persatu tajuk ustaz bentang kepadanya, semuanya ditolak mentah-mentah. Terasa macam sedikit kecewa. Namun bila Prof. mencadangkan beberapa tajuk yang lain kepada ustaz, hati ini amat tertarik dengan satu tajuk yang amat bersesuai.
Prof. telah membekalkan kepada ustaz beberapa panduan untuk memudahkan kajian ustaz. Alhamdulilah, dapat juga tajuk hari ni.

Selesai pertemuan dengan Prof. , ustaz tunaikan solat zohor berjemaah di masjid Uiam. Terasa lapar pula, tapi dah berazam tak nak makan nasi. Ustaz pergi ke restoren Arab makan sekeping roti dan segelas air jus. Alhamdulilah, adalah sikit tenaga. Banyak lagi kerja nak buat ni. Ustaz pergi potokopi beberapa bahan penting untuk penulisan malam ni kemudian bergegas ke pusat pelajar ijazah lanjutan (cps).

Kelam kabut dan riuh rendah bunyi seorang pegawai perempuan yang memaki hamun, sumpah seranah disebabkan masalah yang sangat kecil. Bila seorang pelajar afrika mendakwa beliau dilayan seperti binatang! Ustaz Cuma perhatikan gelagat tersebut. Perempuan tadi tanpa malu dan segan, meneruskan siri kemarahannya yang berulamkan sumpah seranah dan rasa tak puas hati. Tak sanggup duduk lama di sini. Ustaz cuma datang untuk mengambil keputusan penuh peperiksaan ustaz, malangnya rekodnya belum dikemas kini. Pulanglah dengan tangan kosong.
Sehari berurusan di Uiam, pelbagai karenah dapat dilihat. Ianya adalah sebahagian asam garam perjuangan menuntut ilmu.

Selasa, 4 Januari 2011

Jadual Kuliah 1432H/2011M

Alhamdulilah Tokku masih berkesempatan untuk mencoretkan sepatah dua kata untuk tatapan dan hiburan buat para pelayar blog. Semoga Allah Taala senantiasa menambahkan keakraban hubungan kita denganNya.

Minggu ini Tokku masih berada di Uiam, Gombak untuk menyelesaikan beberapa urusan yang berkait rapat dengan tugasan ilmu. Masih lagi ingin merehatkan diri sesudah beberapa bebanan besar sudah terangkat beberapa minggu lepas. Peperiksaan akhir semester, peperiksaan bersepadu, hantaran tugasan dan urusan yang berkait dengan pendaftaran asrama.

Kuliah tahun ini akan berlaku panambahan dan pembaik pulih dari sudut penggunaan kitab dan juga penyampaian insya Allah. Setakat ini Tokku akan senaraikan jadual rutin kuliah maghrib:

Khamis: Surau Al-Khauthar, Taman Rinting-Dosa-dosa besar karangan Ibnu Hajar Al-Makki
Jumaat: Surau Al-Husna, Pelembut Hati- Dr. Aid Al-Qarani
Sabtu: Masjid Cahaya Baru- Nasaih Ibad- Syaikh An-Nawawi Al-Bantani
Ahad: Surau Al-Bararah- Nasaih Ibad

kuliah subuh dan dhuha pula:
Jumaat: Surau Al-Bararah- Riyadus Solihin oleh Imam An-Nawawi
Sabtu: Surau Al-Bararah- Cahaya ilmu oleh Imam Az-Zarnuji
Ahad: Surau Al-Khauthar- Fattu Rabbani- Abd Qadir Al-Jilani
*Surau Al-Husna- Kuliah Dhuha- Fiq Manhaji jilid 5, Riyadus solihin jilid 5, dan tafsir.

Beberapa lagi kuliah yang belum dapat diberi kata putus seperti kuliah di BBU, Kulai, dan Johor Bahru masih dalam kajian dan penyelidikan. Yang hampir confirm ialah kuliah di Masjid Jamie' Pasir Gudang selepas isyak hari khamis dengan menggunakan kitab "tanda-tanda kiamat" oleh Dr. Umar Sulaiman Asyqar. Insya Allah kalau bukan minggu nie, minggu depan akan mula.

Isnin, 20 Disember 2010

Adil kepada Anak-anak



Anak-anak adalah permata hati, penenang jiwa dan penghibur duka. Mereka adalah amanah Allah kepada kedua ibubapa samada mereka masih bersama ataupun tinggal berasingan kerana penceraian. Ianya bukan alasan terhadap pengabaian kepada mereka. Hak anak-anak tetap menjadi keutamaan dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Taala kepada mereka.

Islam meletakkan pelbagai tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh kedua belah pihak bermula daripada proses mengandung hingga proses pembesaran mencapai usia akhil baligh.

Antaranya bersifat adil dalam pemberian kepada anak-anak samada perkara yang bersifat material ataupun kasih sayang melainkan sesuatu yang tersimpan di dalam hati dan kecenderungan yang wujud secara fitrah.

Nabi s.a.w. sering mengingatkan ibubapa supaya berlaku adil dalam pemberian dengan sabdanya yang bermaksud: Berlaku adilah kamu kepada anak-anak kamu ( Abu Daud dll.)

Dalam riwayat Baihaqi Nabi s.a.w menegaskan: Sebagaimana kamu suka mereka semua mentaati dan berlaku baik kepada kamu.

Kesan tidak berlaku baik dan adil dalam pemberian mengakibatkan mereka cenderung untuk derhaka dan mewujudkan permusuhan dalaman yang amat merbahaya kepada institusi kekeluargaan.

Kerana itulah Nabi s.a.w tidak mahu menjadi saksi kepada hadiah atau pemberian kepada anak-anak yang tidak dilakukan dengan adil.

Hukum berlaku adil dalam pemberian kepada anak-anak adalah sunat di sisi jumhur ulama’. Namun Mazhab Ahmad dan Malik mewajibkannya.

Khamis, 16 Disember 2010

A'syura'

Alhamdulilah Allah Taala telah memanjangkan usia kita sehingga berkesempatan melakukan ibadat-ibadat sunat di bulan Muharram ini. Antara ibadat tersebut ialah berpuasa pada 9 dan 10 Muharram, ataupun 10 Muharram sahaja, atau 10 dan 11 Muharram.

Ianya disunatkan dan merupakan amalan yang terbaik dalam menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

Bukanlah menjadi satu beban untuk berpuasa beberapa hari ini kalau dibandingkan dengan keluasan waktu-waktu lain untuk kita bersantai dan makan sepuas-puasnya. Hanya satu latihan kecil supaya kita mengetahui nikmat makan dan minum bahkan nikmat melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah. Maimun bin Mehran seorang ulama' tabien pernah berkata: Orang yang paling malang ialah mereka yang tidak pernak merasai kenikmatan taat kepada Allah di dunia ini sehinggalah dia bertemu dengan Tuhannya.

Banyak isu-isu di dada akhbar yang menjadi perhatian ustaz walaupun masih dalam pantang peperiksaan terakhir. Ya! Pada hari Isnin ini ustaz ada peperiksaan lisan dengan 9 orang Doktor dan Prof..Moga dipermudahkan oleh Allah. Insya Allah ustaz akan cuba kupas, khususnya tentang pluralisme dalam agama yang hangat diperkatakan dengan menganitkan tokoh-tokoh agama tertentu.

Selasa, 30 November 2010

Hukum pembedahan kecantikan

Memang agak lama ustaz tak ke udara dengan mengemas kinikan blog ini kerana beberapa keuzuran yang tak dapat dielakkan. Walaupun jari jemari ini sebenarnya amat gemar untuk menari di atas permukaan ‘keyboard’ mencoretkan sesuatu yang bermakna dan berkongsi idea. Beberapa minggu ini ustaz akan berada di Uiam untuk menyelesaikan beberapa perjuangan yang belum selesai termasuklah penyedian tajuk thesis dan beberapa urusan pentadbiran serta pengurusan.

Terbaca beberapa berita dalam dan luar Negara tentang isu yang berkaitan dengan pembedahan kecantikan yang berakhir dengan tragedi dan kematian. Ada beberapa sebab kenapa manusia sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk melakukan pembedahan kecantikan ini, yang sebenarnya bertentang dengan Islam dan fitrah manusia, antaranya ialah:

1-Ingin kelihatan sentiasa cantik
2-Tidak bersyukur dengan apa yang ada
3-Mencari keuntungan melalui kecantikan
4-Sikap ingin dipuji dan berbangga
5-Terikut-terikut dengan budaya senget
6-Tidak dapat menerima hakikat diri
7-Kurangnya kefahaman agama
8-Pengaruh durjana syaitan
9-Bimbang kehilangan suami atau kekasih

Ini adalah beberapa faktor kenapa manusia melakukan pembedahan kecantikan khususnya dikalangan wanita. Pembedahan kecantikan termasuk perkara yang mengubah ciptaan Allah yang dilarang dalam agama. Dalam Al-Quran, surah An-Nisa’ 118-121, yang bermaksud:

Yang telah dilaknat oleh Allah, dan Yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, Aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian Yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);

"Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata.

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong; dan apa Yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

Yang dimaksudkan dengan mengubah ciptaan Allah ialah, melakukan sesuatu dengan tujuan-tujuan berikut:

1- Mengikut cara orang kafir
2- Mengikut cara orang fasik dan ahli maksiat
3- Menukar jantina
4- Menyerupai wanita bagi lelaki atau menyerupai lelaki bagi perempuan
5- Melakukan pembaziran dengan belanja yang besar sedangkan syaitan adalah saudara orang yang membazir
6- Mendatangkan mudarat kepada diri sendiri
7- Dilakukan dengan tujuan untuk mendedahkan aurat seperti pembesaran payu dara, atau punggung dan sebagainya yang menarik manusia menontonnya dan membangkitkan syahwat
8- Dilakukan dengan tujuan berbangga dan sombong

Sekiranya pembedahan dilakukan hanya untuk mengembalikan bentuk asal atau membaiki kecacatan yang berlaku disebabkan kemalangan atau lain-lainnya maka ianya adalah harus. Semoga posting ini dapat memberi manfaat kepada semua. Amin.

Selasa, 26 Oktober 2010

Minggu Terakhir



Hampir setahun ustaz mengikuti kelas-kelas di Uiam. Sebanyak lapan subjek utama perlu dihabiskan. Alhamdulilah, hari ni selesai sudah segala kepayahan dan kesukaran mengikuti guru-guru dikalangan para pensyarah di Uia. Apa yang seronok dan terharunya apabila setiap mereka memberi nasihat yang sama iaitu supaya menguatkan keikhlasan dan memberi manfaat kepada agama.

Tengok muka sahabat-sahabat daripada pelbagai negara dan latarbelakang budaya yang berbeza, namun kami mempunyai persamaan agama dan matlamat. Moga Allah terus pertemukan kami.

Ustaz sempat meminta keizinan daripada beberapa orang Prof. untuk bergambar. Alhamdulilah, ianya adalah kenangan yang amat bermakna. Antara mereka ialah Tan Sri Prof. Kamal Hasan yang banyak memperkenalkan kepada ustaz para pemikir Islam seperti Murad Hofmann, Toriq Ramadhan, Muhammad Asad, Faisal Abd Rauf, dan lain-lain lagi. Demikian juga ustaz dibekali dengan pelbagai nasihat dan panduan yang amat berguna. Sifat tawadhuk beliau terserlah dengan keterbukaan dan kemesraan. Semoga Allah meramaikan orang yang sepertinya. Amin

Selasa, 19 Oktober 2010

Cintakan Allah Taala

Dunia bukalah tempat manusia bergembira dan bergelak ketawa. Ianya dijadikan oleh Allah sebagai negeri ujian dengan pelbagai bentuk dan jenis. Bermula dengan ujian ketaatan dan pencarian Tuhan pencipta sebenar sehinggalah ujian yang berupa kenikmatan dan kesedihan.

Manusia yang hanya melihat dunia sebagai negeri abadi dan akan berkekalan di sini hanyalah dibuai dengan mimpi palsu yang akan dikejutkan dengan kematian yang pasti berlaku kepada setiap yang bernyawa. bahkan bagi setiap makhluk yang selain daripada Allah.

Allah menjadikan sentiasa benda di atas dunia ini berubah. Daripada tiada kepada ada, kemudian kembali tiada. Daripada muda menjadi tua, daripada putik menjadi masak, daripada wangi menjadi busuk. Semuanya itu adalah isyarat yang jelas tentang kebinasaan makhluknya.

Lihatlah bagaimana Allah Taala menjadikan cinta selain daripadaNYA adalah palsu. Seorang yang pernah menyintai seseorang, tiba-tiba berubah membencinya dengan cara yang luar biasa. Lihatlah bagaimana tugu cinta yang dibina oleh manusia hanyalah umpama sarang labah-labah. Kerana itulah cinta selain daripadaNYA tidak sekali-kali membawa bahagia. Tidakkah kita melihat seorang anak kecil yang sering memanggil dan menjerit nama ibunya setiap masa, tiba-tiba membenci ibunya dikala dewasa, demikian sebaliknya. Walhah mereka diikat dengan hubungan yang amat kukuh.

Semuanya itu mengukuhkan lagi keyakinan kita bahawa bercinta dengan makhluk dengan meninggalkan cinta kepada Khalik akan membawa kepada sengsara.

Rabu, 13 Oktober 2010

Wali!



Penat berbual dengan beberapa orang sahabat tentang thesis dan bahas yang akan disiapkan, ustaz mengajak sahabat ustaz minum di kantin. Ketika itu jam 12.30 malam. Agak lewat bagi orang yang berkerja pagi. Namun bagi pelajar macam ustaz masih awal, kerana kebiasaan tidur jam 3 pagi atau mungkin tak tidur terus.

Kebetulan ustaz nampak seorang Imam yang sedang duduk sorang-sorang. Inilah peluang nak kenal beliau dengan lebih dekat. Kebetulan beliau yang memulakan perbualan. Terkejut besar ustaz bila dia mula bercakap tentang wali. Sambil menunjukkan orang sebelah yang sedang leka bercakap dengan hanset. “Kalau anta nak tahu, orang sebelah ni wali!”. Ustaz mula bertanya beliau bagaimana dia tahu. Sambil menjawab dengan yakin, “dia ada karamah!”. Ustaz Tanya dia lagi “macamana anta tahu”? Dia jawab: “Ana dah tengok banyak keajaibannya” sambil tangannya bergerak pantas membuka video dalam hansetnya. “Tengok ni!” Hanya gambar dia sedang mengubat seseorang.

Ustaz menyatakan bahawa cara dia meletakkan kaedah mengenali wali agak bahaya dan membuka peluang kepada orang yang jahil memanupulasikannya. Ustaz menerangkan kepadanya beberapa syarat wali dengan panjang lebar. Dia kurang berpuas hati sambil terus memperkenalkan kepada ustaz wali-wali yang lain. Akhirnya ustaz mengambil keputusan mengakhiri perbualan sambil menegaskan perlunya dia berhati-hati dalam pandangannya itu.

Tergamam seketika ustaz melihat kerenah masyarakat yang pelbagai ini. Ahli agama tak terkecuali mempunyai beberapa pemikiran yang bertentangan dengan sunnah. Sebenarnya jalan perjuangan ini memang amat panjang dan berliku.

Isnin, 11 Oktober 2010

10. 10. 2010

Alhamdulillah, perjalanan hari ini ke Uiam bertemankan sahabat lama yang sekian lama terpisah. Sebelum bertolak pada paginya, sahabat lama ni telefon daripada Yong Peng Utara supaya mengambil beliau kerana membatalkan perjalanan dengan bas semalam akibat sakit perut.

Memang bukan ajalnya dan bukan suratannya, apabila semua maklum pada 10.10. 2010 berlaku kemalangan yang paling dasyat yang mengorbankan 12 nyawa. Bas yang melambung tinggi sehingga ke jalan sebelah yang bertentangan. Dikatakan beribu kenderaan berasak dan bersesak-sesak dengan apa yang disifatkan sebagai kesesakan lalu lintas yang luar biasa.

Dia terselamat, paling kurangnya daripada “jam” yang teramat sangat itu. Perjalanan hari ini lebih seronok kerana banyak perkara dapat dibualkan. Ustaz dipelawa ke kondominium miliknya yang baru dibeli. Ini pengalaman pertama masuk kondo yang memang terkenal dengan kawalan yang ketat. Kebetulan pula, sahabat ustaz tertinggal kad masuknya. Jadi, terpaksalah bersembang panjang dengan jaga dengan mengemukakan pelbagai alasan.

Tingkat 17, sayup ke langit. Naik turun lif menjadi rutin penduduk di sini. Tak dapat nak bayangkan bagaimana bentuk kehidupan di sini. Yang jelas, masing-masing tidak mempedulikan sesiapa pun. Hilang ukhuwah yang menjadi nadi kebahagian manusia.

Petang tadi kira jam 4.30 petang pula ustaz terima panggilan daripada sekolah lama supaya mengambil slip peperiksaan Ptk2 yang akan diadakan pada sabtu nie. Tak ada apa persiapan, maklum sibuk siapkan thesis dan kerja-kerja bertambun yang diberikan oleh Prof.

Petang tadi juga ,baru siap tafsir, minggu nie kena siapkan kertas kerja berkenaan dengan demokrasi, minggu depan kena bentang,…….tak habis nak sebut. Semoga Allah membantu..

Malam nie ustaz terpaksa membantu sahabat daripada Bangladesh untuk menyiapkan kertas kerja beliau yang bertajuk penyelewengan syiah dalam tafsir Al-Quran. Ustaz janji malam ni akan dihantar segala bahan-bahan yang berkenaan setebal 40 muka surat. Tolong kawan banyak pahalanya. Insya Allah ustaz akan kongsikan pemikiran syiah dengan sahabat-sahabat pembaca blog.

Rabu, 29 September 2010

Perpaduan ummah



Minggu ini ustaz berada lebih lama di Uiam disebabkan banyaknya kelas ganti yang diadakan gara-gara cuti beraya yang telah ditetapkan di Universiti. Ingatkan hanya di sekolah ada hari ganti, di sini pun ada. Bukanlah benci tetapi sedikit sebanyak merencat jadual kebiasaan yang memang sentiasa padat.

Macam biasa jam 10 pagi kelas pun bermula sampai jam 1 petang tanpa ada rehat walau sedikitpun. Ya! Tiga jam secara berterusan amat memenatkan namun banyak pengisian yang ustaz perolehi terutamanya tentang golongan sesat yang beridentitikan Islam tetapi berkiblatkan kepada kekufuran dan sesat. Demikian juga golongan yang berfahaman amat semppit dalam urusan agama. Yang hendak ditonjolkan hanyalah bid'ah bukannya dakwah yang menjadi tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan.

Habis kelas ustaz ke masjid untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Ini yang seronok berada di Uiam, lepas kelas sahaja berduyun-duyun ke masjid. Apatah lagi kepelbagaian bangsa, negara dan bahasa disatukan dengan kalimah tauhid yang mulia. Indahnya hidup bersaudara. Selepas solat ustaz ditegur oleh seorang warga China yang bertutur bahasa Melayu dengan begitu semangat sekali. Namanya Ishak, pelajar MA dalam bidang Bahasa Arab. Begitu pantas sekali dia mempelajari bahasa Melayu hanya dengan pergaulan dengan pelajar di sini.

Bertemu pula dengan seorang warga Indonesia yang berkelulusan kejuruteraan tetapi sedang menyambung pengajian dalam Quran dan Sunnah dalam peringkat MA. Tekun dan amat bersungguh-sungguh sekali dia menuntut ilmu.

Ustaz juga sempat berkenalan dengan seorang pakcik yang berusia 65 tahun, menyambung pelajaran di peringkat PhD di Istac. Beliau akan menulis dalam bidang sejarah kebangkitan pemikiran Islam di Malaysia. Berbetulan, ustaz amat meminati sejarah dan pernah mengajar sejarah selama hampir 6 tahun untuk pelajar Tingkatan 6. Banyak input yang ustaz berikan kepada beliau.

Seorang pegawai Jakim juga berminat untuk mendapatkan tajuknya dalam bidang PhD. Insya Allah ustaz akan cuba memberikan tajuk yang sesuai dengan kemampuan beliau. Malam semalam ustaz berdiskusi dengan seorang pelajar Thailand, juga berkenaan dengan tajuk yang bakal beliau pilih untuk thesisnya yang akan datang.

Semuanya itu adalah satu permintaan dan sifat tolong-menolong yang ada pada kami pelajar-pelajar di sini. Ustaz juga banyak meminta bantuan mereka khususnya dalam mengetahui berita-berita terkini tentang Uiam. Maklumlah, banyak berada di Johor berbanding Uiam.

Angka 40

Isu royalti minyak di Kelantan merupakan isu yang hampir berada di kemuncaknya. Ianya telah memasuki fasal yang kedua dalam usaha kerajaan Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abd Aziz untuk mendapatkan hak mereka yang dizalimi. Ianya bukan semata-mata isu politik bahkan sebenarnya ianya adalah rantaian dan episod kezaliman manusia sepanjang zaman.

Pada fasal yang kedua satu usaha untuk menghantar 40 orang Tok Guru Pondok, selama 40hari untuk bermunajat kepada Allah Taala yang menelan kos sebanyak hampir Rm400 ribu. Satu usaha yang amat baik. Kerana Nabi s.a.w menyatakan doa orang yang di zalimi adalah mustajab walaupun daripada orang kafir. Antara Allah dengan orang yang dizalimi tidak akan ada hijab. (HR Ahmad).

Lihat bagaimana Nabi s.a.w mengajar umat manusia untuk melihat kezaliman sebagai satu bentuk penindasan. Ianya bukan isu yang bersifat keagamaan sempit tetapi melangkaui sempadan kemanusia. Kerana itu Rub'i bin Amir berkata kepada pemimpin Parsi, Rostum bahawa kedatangan Islam untuk mengeluarkan manusia daripada kezaliman kepada keadilan yang merupakan sifat utama Islam.

Ada yang cuba mengatakan bahawa usaha tersebut semacam pembaziran kerana kos yang tinggi. Sebenarnya tiada pembaziran dalam melakukan kebaikan. Pembaziran yang sebenar dalam melakukan kebatilan. Angka tersebut bersifat terlalu kecil berbanding kebaikan yang dilakukan dan kezaliman yang tidak berkesudahan.

Isu 40 hari cuba dianggap oleh orang tertentu sebagai bentuk bid'ah. Walhah ianya merupakan satu angka yang disebut di dalam Al-Quran dan juga dalam hadis. Maka harus mengambil keberkatan angka tersebut.

Isu yang paling besar sebenarnya adalah kezaliman yang perlu diterangkan.

Isnin, 27 September 2010

Jaulah Ilmu

Hari ini terpaksa berkejaran ke Uiam, kerana ada kelas pagi bersama dengan Tan Sri Prof Dr. Kamal Hasan, bekas rektor uiam yang sekarang pemegang kerusi Ibnu Khaldun di Uiam. Oleh kerana beliau seorang yang amat menepati masa, menyebabkan ustaz terpaksa bawa kereta laju sikit. Alhamdulilah lagi 5 minit sebelum memulakan kuliah ustaz dah sampai ke biliknya. banyak input yang menarik yang kami berkongsi, antaranya mengkaji pemikiran Prof. Dr. Tariq Ramadhan seorang pemikir Islam yang aktif mendekatkan dunia dengan barat dengan dunia Islam.

Selepas hampir 3 jam bersama beliau, ustaz pulang ke bilik untuk rehatkan diri sekejap, kerana jam 5 petang hingga 8 malam ada lagi kelas yang menanti. Apatah lagi ustaz kena buat perbentangan. Penat belajar tak sempat makan.

Alhamdulilah kawan-kawan datang mempelawa makan di restoren saba' (Makanan Arab)
di setiawangsa. Jaraknya hanya 20 minit sahaja namun kerana tersesat jalan maka jadilah 1 jam. Banyak info akademik yang kami berkongsi khususnya untuk berjaya dalam pelajaran. Salah seorang kawan ustaz ni seorang peguam syariah yang sedang dalam proses mengambil phd juga. Kami berbincang tentang amalan guaman di Malaysia. Beliau memberitahu ustaz bahawa peguam banyak fikir tentang duit tanpa memikirkan betul atau salah orang yang diwakilinya.

Banyak betul peristiwa yang berlaku sepanjang hari ini. Biasanya ustaz hanya duduk di bilik tetapi hari ini berpeluang untuk bertemu dengan ramai manusia dengan pelbagai ragamnya. Ada perkara yang boleh dipelajari hari ini iaitu, pentingnya pengurusan masa supaya kita dapat melakukan banyak perkara.

Sabtu, 25 September 2010

Salam Eidulfitri

Masih menjadi kebiasan umat Islam di Malaysia untuk mengucapkan salam eidilfitri kepada sahabat handai, jiran tetangga dan juga sanak saudara. Ianya adalah salam budaya bagi mengeratkan silaturrahim dan menyuburkan kasih sayang sesama kita.

Rumah terbuka adalah satu peluang untuk mengucapkan salam ini yang hanya kedengaran sepanjang syawal sahaja. Ianya satu suasana yang bagus dan perlu diteruskan. Bersalam-salaman pada suasana kemeriahan rumah terbuka perlu ada batasannya. Jangan sampai tak kenal yang mana mahram yang mana bukan.

Adab bertamu juga perlu diketahui dan dipraktikkan dengan sempurna. Antaranya ialah:

1- Mengunjungi sahabat atau saudara waktu kelapangannya
2- Menjauhi waktu-waktu yang hampir dengan solat fardhu
3- Tidak berada terlalu lama
4- Tidak mengintai isi rumahnya
5- Makan dengan penuh syukur
6- Berterima kasih atas jemputan dan hidangan
7- Mempelawa datang ke rumah
8-Mendoakan kebaikan kepada tuan rumah sekeluarga
9-Tidak makan terlalu banyak bagi memberi peluang kepada tetamu yang masih belum datang
10-Kalau membawa sama orang yang tidak dijemput maka hendaklah memberitahu tuan rumah terlebih dahulu.

ianya adalah adab-adab yang utama yang mesti diambil berat oleh kita yang hendak mengunjungi temannya. Sekiranya masuk waktu solat, maka ajaklah tetamu sama-sama berjemaah di masjid yang berhampiran. Insya Allah tetamu tidak akan menolak dan bukannya satu beban. Ianya adalah berpeluang berdakwah kepada kita semua.

Rabu, 22 September 2010

RUMAH TERBUKA

Kemeriahan eidilfitri masih terasa di mana-mana sahaja. Ramai lagi yang masih membicarakan peristiwa-peristiwa raya. Namun tak ramai yang sudi untuk bermuhasabah dengan puasa Ramadhan yang telah dilalui. Benar! manusia memang suka menceritakan kemenangan berbanding dengan pengorbanan.

Rumah terbuka adalah satu cara masyarakat kita memeriahkan eidilfitri. Demikian juga lagu-lagu raya yang masih kerap kedengaran melalui stesen-stesen radio mahupun kedai-kedai makan. Itu boleh dikira rumah-rumah terbuka yang diadakan oleh pelbagai agensi.

Memberi makan merupakan satu akhlak yang terpuji. Nabi s.a.w pernah ditanya tentang ciri-ciri orang islam yang terbaik. Baginda menjawab: engkau memberi makan (HR Bukhori). Namun ciri ini hanya kepada orang yang melakukannya dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan samada berupa pujian ataupun secara timpalbalas.

Ya! Kadang-kadang juadah yang kita sediakan kepada tetamu yang datang dengan tujuan kita dipuji atau mungkin supaya nanti bila kita bertandang ke rumah mereka, nilai juadah yang sama kita perolehi.

Dalam mengadakan rumah terbuka, pastikan tiada unsur pembaziran yang dilakukan dengan sengaja. Berhemahlah ketika menyiapkan makanan kepada tetamu. Carilah masa yang sesuai dengan kelapangan para tetamu supaya majlis ini tidak ada kecacatannya.

Kalau kita mengimbau akhlak Nabi s.a.w. rumah dan jiwanya sentiasa terbuka kepada semua manusia tanpa mengira masa dan siapa. Ianya adalah sunnah agung yang mesti cuba diikuti oleh orang yang beriman.